Pelajar cemerlang STPM tekad ubah nasib keluarga



PASIR PUTEH 20 Mac - Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012, Ariza Mohd. Asri, 20, menganggap kejayaannya mendapat 5A dalam peperiksaan itu sebagai hadiah istimewa buat keluarganya.

Ariza yang merupakan antara pelajar cemerlang STPM 2012 peringkat kebangsaan yang diumumkan semalam memberitahu, kejayaan itu adalah hadiah kepada bapanya, Mohd. Asri Awang, 57, yang sentiasa berusaha mencari rezeki menampung persekolahannya dan adik-beradik lain.

Ariza yang ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Pak Esah, dekat sini hari ini, berkata, pengorbanan ibu, Zariah Yusoff, 42, dan ayahnya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Pak Esah di sini, menyediakan segala keperluan persekolahannya dan adik-beradik lain adalah terlalu besar.

"Kecekalan semangat ayah dan ibu adalah pembakar semangat saya untuk berjaya dan setanding rakan-rakan daripada keluarga yang lebih berada," katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa, dekat sini.




Kemiskinan bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan 

Menurut Azira, kejayaannya juga merupakan bukti kemiskinan bukan penghalang untuk mencapai keputusan cemerlang dalam bidang akademik sebaliknya bergantung kepada daya usaha dan kegigihan seseorang.

"Disebabkan kemiskinan, saya tidak mampu mengikuti tuisyen seperti rakan yang lebih berkemampuan. Saya hanya memberi tumpuan kepada kelas tambahan percuma anjuran guru di sekolah yang terbukti banyak membantu kecemerlangan saya.

"Saya tidak sabar melanjutkan pengajian ke universiti dan bekerja selepas menamatkan pengajian kerana sudah lama bertekad membebaskan keluarga daripada belenggu kemiskinan," katanya.

Kejayaan Azira dikongsi ibu dan ayahnya yang turut menemani menerima Anugerah Cemerlang STPM 2012 berupa cek bernilai RM1,000, plak dan sijil di Kuala Lumpur semalam.

Dari utusan.com.my






( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )





Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .