Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia


Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Malaysian Higher School Certificate dalam bahasa Inggeris merupakan peperiksaan prauniversiti yang diduduki oleh pelajar Malaysia. Peperiksaan ini dulu dikenali sebagai Higher School Certificate (HSC).

STPM disediakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang juga menyediakan Malaysian University English Test (MUET), berbeza dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Walau bagaimanapun, kedua-dua LPM dan MPM adalah terletak di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.STPM adalah salah satu daripada dua sistem prauniversiti yang utama untuk kemasukan universiti awam Malaysia. Sistem yang lain pula adalah program matrikulasi yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran.

STPM diiktiraf oleh banyak universiti di peringkat antarabangsa, terutamanya universiti di negara-negara Komanwel dan juga Amerika syarikat dan Ireland. Kebanyakan universiti menganggap keputusan STPM sama dengan A-level.


Mata Pelajaran STPM

Calon STPM menduduki maksimum 5 mata pelajaran. Kertas peperiksaan bagi mata pelajaran sains dan matematik seperti Mathematics S, Mathematics T, Further Mathematics T, Perkomputeran (Computering), Fizik (Physics), Kimia (Chemistry) dan Biologi (Biology) ditawarkan dalam dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sehingga 2007 di mana kertas peperiksaan bagi mata pelajaran tersebut ditawarkan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Bagi mata pelajaran yang lain, kertas peperiksaan masih disediakan dalam bahasa Melayu atau bahasa masing-masing.

Bagi peperiksaan STPM, pengambilan sebarang kombinasi mata pelajaran adalah dibenarkan iaitu pengambilan apa-apa mata pelajaran adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun, kebanyakan pelajar yang memohon universiti tempatan diwajibkan mengambil Pengajian Am. Kebanyakan sekolah atau kolej menawarkan kombinasi mata pelajaran berdasarkan aliran sains atau kemanusiaan.

Gred STPM

STPM menggunakan sistem Nilai Gred Mata Pelajaran. Terdapat 11 gred, iaitu A, A-, B+, B, B-, C+, C, C-, D+ dan D, dengan F sebagai status Gagal.

Nilai Gred Mata Pelajaran
  • A - 4.00 (Lulus Penuh)
  • A- - 3.67 (Lulus Penuh)
  • B+ - 3.33 (Lulus Penuh)
  • B - 3.00 (Lulus Penuh)
  • B- - 2.67 (Lulus Penuh)
  • C+ - 2.33 (Lulus Penuh)
  • C - 2.00 (Lulus Penuh)
  • C- - 1.67 (Lulus Sebahagian)
  • D+ - 1.33 (Lulus Sebahagian)
  • D - 1.00 (Lulus Sebahagian)
  • F - 0.00 (Gagal)
Gred setiap kertas peperiksaan dinyatakan dalam slip keputusan & juga sijil.

Kongsikan berita ini

( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )






Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .