Pakaian Seragam Sekolah Tingkatan 6 Dihapuskan


 

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) telah mengambil suatu inisiatif yang positif pada tahun ini, iaitu memperkenalkan Sistem Pentaksiran Baharu peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia bagi pengajian pelajar tingkatan enam.
 
Pengajian dipermudah kepada pelajar, iaitu kurikulum dibahagikan kepada tiga penggal pengajian dengan setiap penggal mempunyai peperiksaan yang sendiri. Ini bermakna pelajar tidak perlu lagi mempelajari kurikulum itu untuk tiga penggal dan menghadapi peperiksaan STPM pada akhir penggal pengajian.



Pengajian di Tingkatan 6 Amat Murah

Pengajian tingkatan enam merupakan pengajian yang paling murah sebenar. Ibu bapa tidak perlu keluarkan wang yang banyak untuk membayar yuran pengajian kerana yurannya ditanggung oleh kerajaan.

Tempat tinggal juga tidak menjadi bebanan kepada ibu bapa untuk menyediakan bajetnya kerana rata-rata pelajar boleh tinggal di rumah lantaran sekolah bertingkatan enam ada dalam daerah masing-masing.

Bagaimanapun, satu perkara yang mengekang kemasukan pelajar yang ramai ke pengajian tingkatan enam ialah isu pemakaian pakaian sekolah oleh pelajar tingkatan enam.

Isu inilah sebenarnya yang menghalang ramai pelajar untuk tidak meneruskan pengajian ke tingkatan enam.Walaupun kurikulumnya mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak, kos pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, dan sebagainya soal berpakaian seragam sekolah kepada pelajar yang sudah memasuki usia 18 hingga 20 tahun dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa.

Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa malu untuk memakai pakaian sekolah sama seperti adik-adiknya yang berusia 17 tahun ke bawah.


Menghilangkan Rasa Rendah Diri Pelajar

Rata-rata rakan seusianya yang belajar di tempat lain, seperti di kolej matrikulasi, politeknik dan universiti sudah tidak memakai pakaian seragam.Hal ini boleh menimbulkan rasa rendah diri di kalangan mereka.

Oleh yang demikian, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia sama ada melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian atau Bahagian Kokurikulum harus memahami aspek psikologi pelajar jika ingin melihat lebih ramai pelajar mengikuti pengajian di tingkatan enam.

Ubahlah dasar ini kepada dasar yang membolehkan pelajar tingkatan enam tidak lagi berpakaian seragam sekolah seperti sekarang tetapi memadailah jika mereka dibenarkan memakai seluar panjang berwarna gelap sama ada berwarna hitam atau hitam biru, berbaju kemeja tanpa mengira warna, berstoking gelap, dan berkasut kulit hitam. Seluar jeans dan baju T tidak dibenarkan sama sekali.

Dengan perubahan yang sedemikian diyakini lebih ramai pelajar akan mengikuti pengajian di tingkatan enam.

Utusan Malaysia Online: 17 April 2012






Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .