Pusat Pengajian Tingkatan 6 dalam kajian


Tingkatan 6 Rendah tahun ini memulakan pembelajaran secara modular, iaitu sistem tiga penggal dengan kaedah pentaksiran STPM yang baharu berbanding dengan sistem terminal yang lama.

Walaupun sistem pengajian prauniversiti tingkatan 6 mengalami perubahan, segala aktiviti kuliah, tutorial, kokurikulum dan kepimpinan masih diletakkan di bawah bumbung sekolah menengah. Guru dan pelajar tingkatan 6 masih terikat dengan aktiviti dan peraturan pelajar menengah yang lain walaupun kehendak dan orientasi pengajian sudah jauh berbeza.

Terkini, Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asia Timur dan Sidang Kemuncak .

Menteri Pelajaran Asia Timur Pertama di Jakarta semalam (5/7/12) mengumumkan secara rasmi cadangan bahawa sistem pendidikan tingkatan enam distruktur semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan pendidikan prauniversiti seperti kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.

Antara langkah yang akan diambil ialah memisahkan pelajar tingkatan enam daripada sekolah biasa dan menempatkan mereka di pusat pengajian khas. Mereka juga akan menggunakan pakaian berbeza, jadual waktu yang tidak sama dan guru berlainan berbanding sekolah sekolah biasa.


Kerajaan juga bersedia mengkaji kemungkinan tempoh pembelajaran dipendekkan enam bulan lebih awal seperti Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran. Bagi menjayakan penstrukturan tingkatan enam, sistem sokongan yang lebih kukuh diperlukan, termasuk faktor logistik yang diperluaskan.

Ketika ini tingkatan enam dilihat kesinambungan daripada tingkatan lima, sedangkan sebenarnya mereka sudah dewasa dan matang.

Walaupun pelajar tingkatan enam bersekolah di premis sama dengan pelajar sekolah menengah, namun STPM setaraf kolej matrikulasi. Malah, sistem pengajian tingkatan 6 telah wujud lebih awal dan dari segi pengiktirafan antarabangsa lebih tinggi daripada lulusan matrikulasi.

Kelayakan STPM setanding dengan diploma, sedangkan perkara yang sama tidak dinikmati oleh lulusan matrikulasi.Sebahagian besar ahli akademik, cendekiawan, pemimpin politik, tokoh korporat, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan pegawai tinggi awam pernah melalui sistem pengajian tingkatan 6. 

Jadi, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) harus melihat bahawa pendidikan tingkatan enam juga antara pilihan terbaik untuk pendidikan prauniversiti.


( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )





Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .