Pelajar Tingkatan 6 Sudah Tidak Sesuai Pakai Baju Sekolah


SESIAPA yang pernah menjadi pelajar Tingkatan Enam pasti ada menyimpan perasaan malu ketika berpakaian seragam sekolah dalam usia 18 -20 tahun ketika itu.

Pakaian sekolah inilah antara faktor yang tidak merangsang ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Walaupun sudah ada penambahbaikan dari segi kurikulumnya yang mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak ikut sistem semester, kos pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, tetapi soal berpakaian seragam sekolah dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa.


Mereka juga ada perasaan untuk bergaya. Tetapi kepada pelajar yang sudah memasuki usia remaja, mereka diwajibkan berpakaian seragam itu untuk ke kelas. Apabila melihat rakan sebaya yang menuntut di pusat asasi, matrikulasi atau kolej universiti serta institut pengajian yang menawarkan sijil pun - mereka berpakaian biasa. Kalau ada pakaian seragam pun tidak sama dengan pakaian sekolah.

Persepsi pelajar tingkatan enam macam budak-budak sekolah sedikit meruntun rasa kecil hati mereka. Tapi itulah yang ditetapkan oleh kerajaan sejak wujud tingkatan enam lagi.

Ubahlah dasar pakaian sekolah bagi membenarkan pelajar tingkatan enam berpakaian kemas sebagaimana ditetapkan peraturan kepada pelajar di universiti.

Kita mahu melihat pelajar tingkatan enam berubah imej dengan pakaian kemas dan berkasut hitam. Seluar jeans dan baju T tidak dibenarkan. Dengan perubahan sedemikian tidak nampak lagi perbezaan pelajar tingkatan enam dengan rakan sebayanya di peringkat prauniversiti.

Pakaian pelajar tingkatan enam ini perlu diberi perhatian utama dalam usaha Kementerian Pelajaran memberi wajah baru kepada pelajar STPM.

Cadangan ini bersesuaian dengan pengumuman bahawa perubahan besar bakal dilakukan kerajaan dengan memisahkan pelajar tingkatan enam daripada pelajar tingkatan satu hingga lima di sekolah sedia ada untuk ditempatkan di pusat pengajian khas.

Tingkatan enam sepatutnya menjadi pentas bagi melatih para pelajar supaya mereka lebih berdikari dan dapat menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran di universiti. Imej pelajar, sistem dan kualiti pendidikan tersebut perlu diselaras dengan sistem pendidikan prauniversiti lain.


Sedangkan kelulusan dan kelayakan pelajar yang mengambil STPM dan matrikulasi adalah sama. Mereka perlu bersaing untuk merebut tempat melanjutkan pelajaran ke universiti.Tiada beza nilai sijil STPM dengan sijil matrikulasi, cuma yang membezakan mereka ialah sistem pelajaran, tempat belajar dan pakaian seragam.

Utusan Malaysia Online: 7 Julai 2012





( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )





Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .