Kelebihan guru sarjana dipersia-siakan

TARIKH 16 Mei memang dinantikan guru. Pada tarikh itu perayaan Hari Guru disambut pada peringkat kebangsaan, disusuli peringkat negeri, daerah dan sekolah. Setiap kali disambut peringkat kebangsaan, guru kelulusan sarjana menantikan pengumuman daripada pemimpin memberikan sesuatu ‘hadiah’ kepada mereka.

Hampir 15 tahun guru berkelulusan sarjana memperjuangkan nasib agar diberi tempat lebih baik dalam jawatan dan pergerakan gaji tetapi masih belum terlaksana.




Guru sarjana wajar diberi pergerakan gaji seperti dijanjikan kepada guru ijazah kedoktoran (PhD) yang mendapat kenaikan gred tetapi sehingga kini belum dilaksanakan.

Guru sarjana wajar diberi tanggungjawab lebih berbanding guru lain. Kepakaran dan ilmu yang dimiliki mereka mesti digunakan kementerian, jabatan dan pejabat pelajaran daerah serta sekolah. Namun ada tangan kotor yang cemburu dengan guru sarjana, maka kepakaran mereka dibenamkan agar kilauan sedia ada pudar.

Justeru, wajar kekuatan yang ada pada guru sarjana digunakan seperti meletakkan mereka sebagai syarat untuk menjadi guru Tingkatan Enam.



Jika guru yang mengajar terdiri daripada guru sarjana, sedikit sebanyak imej Tingkatan Enam dapat dilonjakkan. Namun, syarat permohonan menjadi diiklankan pada 2008 menyatakan guru yang tidak mengajar Tingkatan Enam pun layak memohon.

Bukankah ini kerugian guna tenaga warga pendidik dan menidakkan kemampuan guru senior yang mempunyai sarjana?

Selain itu, memiliki sarjana bukan lesen untuk kenaikan pangkat di sekolah dan jabatan. Ramai guru senior yang mempunyai sarjana dinafikan kebolehan mereka untuk kenaikan pangkat. Pangkat pula diberikan bukan berdasarkan senio-riti dan kebolehan.

Beri peluang setimpal dengan ilmu guru Sarjana untuk mereka menyumbangkan khidmat untuk memajukan pendidikan di negara ini.

GURU PENING,
Teluk Intan, Perak

Berita Harian Online: 9 Mei 2011

( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )





Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .