Kaedah Pembelajaran Prauniversiti

Hakikatnya, pengajian prauniversiti tingkatan yang baharu dijenamakan semula bertujuan memupuk modal insan minda kelas pertama yang memiliki ciri keperibadian, kepimpinan, kesungguhan, komitmen, pencapaian, dan sahsiah yang cemerlang. Kursus dan mata pelajaran yang ditawarkan bersesuaian dengan golongan pelajar remaja yang berusia antara 18 - 19 tahun yang menuju kematangan dalam berfikir dan bertindak. Hari ini, kebanyakan tokoh akademik (profesor), pemimpin politik, ahli perniagaan berjaya dan sukarelawan hebat pernah melalui pengajian tingkatan 6 era gemilangnya.




Mengapa prauniversiti?

Hingga awal 1980-an hanya terdapat lima buah universiti awam, iaitu UKM, UM, UPM, USM dan UTM. Laluan utama kemasukan universiti ketika itu ialah STPM, di samping saluran matrikulasi, asasi sains (UM) dan kelayakan diploma terpilih (misalnya dari ITM dan Politeknik Ungku Omar, Ipoh). Lama-kelamaan dengan penawaran lebih banyak kursus diploma dan persediaan universiti, pengajian tingkatan mula dianggap sebagai pilihan terakhir setelah permohonan ke institusi prauniversiti yang lain ditolak. Angka 60,000 pelajar tingkatan 6 pun merosot hingga tinggal sekitar 40,000 orang sahaja pada pertengahan dekad 1990-an.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyedari hal berkenaan, lalu mengambil langkah memperkasa semula pengajian tingkatan 6 dengan jenama prauniversiti mulai tahun 2009. Tenaga pengajar tingkatan 6 bergelar guru akademik tingkatan 6, atau pensyarah, serta merupakan jawatan naik pangkat pada gred hakiki DG 44 ke atas. Mereka dikategorikan sebaris dengan pensyarah matrikulasi dan pensyarah institut pendidikan guru yang juga di bawah pentadbiran KPM.


Jumlah enrolmen pelajar prauniversiti tingkatan 6 yang berlegar-legar pada angka 40 hingga 50 ribu orang sesungguhnya suatu rahmat. Jumlah itu lebih sedikit sahaja daripada jumlah tempat yang diperuntukkan kepada lepasan STPM. Maknanya, peluang lulusan STPM memasuki IPTA menghampiri kadar 70 peratus.

Kesahan dan kebolehpercayaan item soalan peperiksaan STPM memang sangat tinggi dan tiada keraguan tentangnya, berbanding dengan kursus diploma yang dilaksanakan oleh sesebuah institusi pengajian secara dalaman dan berasingan sepenuhnya. Sektor swasta juga memandang tinggi kelayakan STPM (dan SPM) sehingga penetapan gaji permulaan seseorang pemegang ijazah bergantung kepada pencapaian di peringkat sekolah, termasuk STPM. Maka, pengajian tingkatan 6 masih relevan dan dihormati.

Amalan Bilik Darjah / Bilik Kuliah



Walaupun susunan tempat duduk pelajar prauniversiti tingkatan 6 tidak jauh berbeza dengan kelas budak menengah, tahap penglibatan pelajar dalam proses menjana pengetahuan baharu berterusan dipertingkat. Walaupun namanya kuliah, tidaklah pula bermakna pelajar hanya duduk terpaku sambil mencatat setiap butiran yang terpacul daripada mulut pensyarah mereka. Sambil pelajar sains banyak terlibat dengan uji kaji di makmal, pelajar kemanusiaan pula lebih banyak menggunakan fakulti kognitif mereka dalam menjelaskan kompleksiti sesuatu fenomena menerusi alat berfikir, iaitu hukum, teori, hipotesis, andaian dan sebagainya.

Pengenalan konsep-konsep yang lebih abstrak dan tinggi didedahkan secara ansur maju, bukanlah begitu mendadak. Pensyarah akan bertindak sebagai penolong kepada pelajar prauniversiti berdasarkan bidang ilmu pengetahuan yang diliputi dalam sukatan pelajaran. Sekiranya pelajar memberi tumpuan terhadap aktiviti pembelajaran, mereka tidak perlu lagi bersusah payah mentelaah buku yang tebal-tebal hingga larut pagi.

Proses pembelajaran bukanlah hiburan. Pelajar prauniversiti tidak boleh mengharapkan untuk bergelak ketawa dan tersenyum sepanjang sesi kuliah. Orang-orang cemerlang memang terpaksa melakukan kerja-kerja yang tidak disukai oleh orang-orang yang tidak cemerlang seperti melengkapkan nota dan tugasan.



Perkara paling penting yang perlu menjadi pegangan pelajar prauniversiti tingkatan 6 ialah sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang matlamat yang hendak dicapai. Dampingi kawan-kawan yang berfikiran positif dan jangan sesekali terdetik untuk menyokong ungkapan-ungkapan negatif yang boleh meracuni pemikiran sehingga hanyut sekali dengan kumpulan si corot yang boleh muncul bila-bila masa.

Pembelajaran paling berkesan ialah dengan mengajar orang lain. Maksudnya, konsep pengajaran sebaya akan membantu pelajar prauniversiti lebih mantap dalam segala penjelasan teori dan jalan kiraan. Pertanyaan rakan, termasuk si corot yang tidak disisihkan akan membantu mengukuhkan penguasaan ilmu pengtahuan prauniversiti.

( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )





Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .