SANDAKAN KE KOTA KINABALU

(Lawatan Guru Tingkatan 6 Penanda Aras Sektor Sekolah Ke Sabah)

06 Mac 2011 - Seramai 14 orang ahli rombongan yang diketuai oleh Ketua Sektor dan disertai oleh Ketua Penolong Pengarah, Penolong-penolong Pengarah dan Penolong Pewawai Pelajaran
Daerah Pengurusan Sekolah telah bertolak dari JPN Terengganu ke Kuala Lumpur.

07 Mac 2011 - Rombongan kami bertolak dari Lapangan Terbang LCCT pada pukul 07.15 pagi dan sampai di Lapangan Terbang Sandakan pukul 11.00 pagi. Kami disambut oleh pegawai-pegawai JPN Sabah dan PPD Sandakan, seterusnya dibawa ke SMK Segaliud yang terletak 57 km daripada Bandar Sandakan.

Kami diberikan taklimat tentang pencapaian sekolah dan diraikan jamuan tengah hari dengan masakan tradisi Segaliud yang
sungguh enak. Dalam perjalanan balik, kami sempat singgah di Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok. Sebelah malamnya kami
sekali lagi diraikan jamuan makan malam di Pasar Sim Sim dengan hidangan yang sangat istimewa. Akirnya kami bermalam di Hotel Nak, Sandakan.

08 Mac 2011 - Seawal 7.30 pagi kami menaiki van yang disewa khas oleh JPN Sabah membawa kami menuju ke Bandar Ranau. Kami mengambil masa perjalanan selama 6 jam. Dalam perjalanan, kami sempat singgah di Pusat Ikan Urut Sungai Moroli, Kampung Luanti Baru.

Kemudian kami ke SMK Lohan, Ranau pada pukul 2.30 petang. Kami sempat menyaksikan Kejohanan Olahraga MSSD Ranau. Di situ, kami di sambut penuh tradisi dengan tarian Iban dan tarian 1 Malaysia oleh murid-murid tingkatan 1 SMK Lohan. Kemudianya kami dihidangkan dengan jamuan makan tengah hari masakan nasi tradisional masyarakat Ranau.

Kami kemudiannya diberikan taklimat tentang perjalanan sekolah dan pencapaian cemerlang SM Lohan dalam Kokurikulum dan Kurikulum. Pukul 6.00 petang kami bertolak dari SMK Lohan dan singgah sebentar di Bandar Ranau dan seterusnya ke Kundasang Kaki Gunung Kinabalu serta bermalam di Hotel Cottage, Kundasang. Di Hotel Cottage ini, sekali lagi kami diraikan
dengan jamuan makan malam oleh PPD Ranau.

09 Mac 2011 - Pukul 8.00 pagi kami meninggalkan Hotel Cottage, Kundasang menuju ke SMK Kundasang dan berada di situ sehingga pukul 11.00 pagi. Seperti biasa kami juga diberikan taklimat tentang perjalanan sekolah kemudian diraikan dengan minuman pagi. Kami seterusnya
bertolak ke Kota Kinabalu yang merupakan destinasi terakhir kami. Setibanya di Kota Kinabalu pada pukul 2.30 petang kami terus dibawa ke Jabatan Pelajaran Negeri Sabah. Kami diberikan taklimat dan sesi perkenalan oleh kedua-dua Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Negeri Sabah dan Negeri Terengganu.

Selesai taklimat kami sempat beramah mesra sambil minum petang. Selepas itu kami ke Hotel Imperial dan bermalam di situ. Pada sebelah malam kami sekali lagi diraikan dengan Jamuan Makan Malam di SMK Sanzac, Kota Kinabalu. Sampainya kami di sekolah itu,
kami dibawa melawat ke tandas murid SMK Sanzac yang sungguh cantik, bersih dan ceria sekali. Semasa majlis makan malam berlangsung kami diiringi dengan persembahan budaya dan persembahan karaoke.

Pukul 11.00 malam kami pulang ke Hotel Imperial dan bermalam.

10 Mac 2011 - Mulai jam 7.00 pagi kami sempat ke Pasar Kota Kinabalu untuk beli belah sebagai buah tangan untuk dibawa pulang ke Terengganu. Pukul 1.00 petang kami bertolak ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan kami menaiki kapal terbang pada pukul 3.45 petang.

Kami tiba di Lapangan Terbang LCCT pada pukul 6.30 petang. Seterusnya pukul 7.00 malam kami menaiki bas untuk pulang ke Terengganu.

11 Mac 2011 - Kami tiba di JPN Terengganu pada pukul 5.00 pagi. Genaplah perjalanan kami selama 6 hari dari Terengganu, Kuala Lumpur, Sandakan, Ranau, Kota Kinabalu dan kembali ke Terengganu.

Enam hari yang memenatkan tetapi menyeronokkan dengan pelbagai pengalaman baru yang tidak mungkin kami lupakan buat selama-lamanya.


( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )





Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .