GURU AKADEMIK TINGKATAN 6 KINI PENSYARAH PRAUNIVERSITI



Bulan Mei 2011 kian hampir. Bagi guru yang mengajar tingkatan 6, sistem modular yang dicanangkan oleh Bahagian Pengurusan Tingkatan 6, Kementerian Pelajaran Malaysia masih ditunggu. Sistem tiga semester yang bakal dilaksanakan ialah transformasi besar yang membabitkan perubahan sukatan pelajaran, kaedah kuliah, pentaksiran berterusan dan peperiksaan berpusat oleh Majlis Peperiksaan Malaysia. 

Langkah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) hendak memperkasa semula kursus diploma dengan tempoh pengajian lebih singkat, iaitu dua tahun setengah dijangka memberi kesan kepada enrolmen pelajar tingkatan enam. Lulusan diploma yang selama ini lebih menjurus kepada penyediaan modal insan tahap pertengahan kini kembali diberi peluang untuk terus menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama tanpa perlu bergraduat dan bekerja terlebih dahulu. Pengkhususan dalam kursus diploma akan menjadikan pengajian tingkatan 6 yang lebih bersifat umum akan menghadapi saingan yang lebih sengit dari segi daya tarikan.

Jika terlaksana sebagaimana yang dirancang, sistem semester tingkatan enam akan menawarkan kursus-kursus yang setara dengan pengajian tahun pertama di universiti tempatan dan antarabangsa. Pelajar yang berjaya memperoleh kelulusan STPM berkemungkinan besar memperoleh pengecualian jam kredit tertentu di peringkat universiti. Maknanya, jangka masa pengajian ijazah pertama mereka akan hanya mengambil masa antara empat atau lima semester sahaja.

Pelajar terbaik STPM juga berpeluang menyambung pengajian di universiti terbaik dunia seperti Havard, Yale, MIT, Princeton, John Hopkins (Amerika Syarikat), Cambridge, Imperial College, LSE, Oxford (Britain), A.N.U., Monash (Australia) dan timur tengah. Semuanya bergantung kepada akreditasi atau penarafan yang diberikan terhadap kualiti kursus pengajian prauniversiti tingkatan 6. Pihak kementerian sudah pasti membuat persediaan ke arah itu.



Kini, aspek kemudahan pembelajaran pengajian tingkatan 6 juga masih ditunggu. Memandangkan bahawa kuliah dan pentadbiran tingkatan 6 masih bernaung di sekolah, maka warga sekolah yang lain masih menganggap pelajar dan guru akademik tingkatan 6 tetap tertakluk kepada peraturan, tatacara dan tugas yang umum. Keadaan itu berlaku kerana kefahaman tentang bidang tugas pensyarah prauniversiti masih kurang jelas sama ada dari segi terma rujukan tugas dan tanggungjawab lain.

Walaupun berada dalam premis yang sama, pengajian tingkatan 6 ialah entiti yang berasingan daripada pengurusan tingkatan satu hingga lima. Pengajian tingkatan 6 ialah kursus lepas menengah, iaitu prauniversiti. Pelajar tingkatan 6 bukanlah seperti murid sekolah yang lain, manakala guru akademik tingkatan 6 ialah pensyarah.

Isu yang timbul di sekolah ialah apabila guru lain mempertikaikan bidang tugas pensyarah tingkatan 6 dan emolumen yang mereka nikmati. Hakikatnya, lantikan pensyarah tingkatan 6 ditetapkan oleh kementerian, bukan kehendak peribadi sesiapa. Jika semua guru berpegang kepada prinsip menghormati terma rujukan tugas masing-masing, mana mungkin mereka tidak semena-mena masuk kawasan orang lain.

Sistem semester dan pentaksiran berterusan bakal menyaksikan pensyarah tingkatan 6 tidak menang tangan nanti, khususnya sebelum sistem modular betul-betul mantap. Item pentaksiran dan dokumentasi menjadi sangat penting supaya kesahan dan kebolehpercayaan pentadbiran alat pengukuran yang digunakan berada di tahap tertinggi. Sebahagian jadual pensyarah tingkatan 6 di sekolah akan diisi dengan tugas berkenaan.

Walaupun sebahagian guru beranggapan bahawa mengajar budak tingkatan 6 lebih ringan, tetapi hanya yang terlibat lebih maklum. Jawatan pensyarah tingkatan 6 ialah gred naik pangkat DG 44 ke atas. Maknanya, guru akademik tingkatan 6 memang layak bergelar pensyarah kerana pengalaman dan kekananan mereka dalam perkhidmatan...




( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )





Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .