Tahap disiplin pelajar tingkatan 6

Pada usia 18 dan 19 tahun, pelajar prauniversiti tingkatan 6 diharapkan telah mencapai tahap kematangan yang tertentu dari segi tingkah laku, khususnya gaya pembelajaran yang berkesan. Sebagai pelajar di dalam sebuah bilik darjah, atau dewan kuliah, pelajar tingkatan 6 juga harus dapat memainkan peranan menyumbang terhadap persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, positif dan selesa. Memandangkan status pengajian yang menjurus kepada persediaan ilmu tinggi, pelajar tingkatan 6 mestilah memberikan komitmen dan tumpuan sepenuhnya terhadap input-input yang disampaikan oleh para guru (pensyarah), di samping mengambil bahagian yang aktif dalam sebarang bentuk perbincangan, pembentangan dan tugasan.


Setiap satu kursus atau mata pelajaran yang ditawarkan akan mempunyai pendekatan yang berbeza-beza dari segi penyampaian dan strategi pembelajaran. Pelajar hendaklah menghormati pensyarah-pensyarah yang merupakan pakar kandungan (content expert) walaupun dari segi kaedah penyampaian (pedagogi) mereka akan juga berbeza-beza dari segi penerimaan pelajar. Sifat orang berjaya ialah melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh orang-orang yang tiada keinginan untuk berjaya, misalnya bersabar dengan konsep-konsep yang agak abstrak, atau terpaksa menunda seketika aktiviti-aktiviti kegemaran.

Sejajar dengan usia matang mereka, pelajar tingkatan 6 yang berada di dalam sesebuah bilik darjah atau dewan kulliah seharusnya bersikap positif terhadap pembelajaran. Mereka harus sentiasa ingat akan segala harapan dan tujuan mendaftar sebagai pelajar prauniversiti tingkatan 6. Tempoh peralihan penghujung zaman remaja dengan usia muda (20-an) haruslah menghimpun kenangan yang manis pada hari-hari muka.

Pelajar tingkatan 6 perlu menganggap pensyarah sebagai penolong kejayaan mereka. Ibaratnya pensyarah akan menyerahkan anak-anak kunci. Pelajarlah yang perlu membuka pintu, lalu masuk ke dalam rumah ilmu, atau menghidupkan jentera untuk memandu sendiri kenderaan ilmu.

Selain pensyarah, pelajar tingkatan 6 hendaklah menghormati rakan-rakan sekuliah. Berikan hak kepada rakan-rakan untuk belajar dengan aman tanpa gangguan yang boleh memesongkan perhatian, atau tindakan yang memudarkan minat belajar mereka. Walaupun seseorang pelajar mungkin cepat menangkap isi pelajaran, ada juga pelajar yang agak perlahan.

Sebagai manusia biasa, pelajar tingkatan 6 juga berhadapan dengan krisis emosi dan perasaan. Walaupun cuba disembunyikan, lambat-laun perasaan itu akan dizahirkan juga. Masalah keluarga, masalah kewangan dan rasa rendah diri ialah antara beban yang berat untuk ditanggung seorang diri.


 Kecelaruan dan kemurungan tidak boleh dibiarkan tanpa diredakan supaya tidak menjejaskan proses pembelajaran. Terapi psikologi dan jalan keluar daripada masalah yang dihadapi mesti diusahakan seberapa segera. Bimbingan profesional daripada pensyarah atau kaunselor yang dilatih dengan etika dan kerahsiaan akan membuka jalan penyelesaian berbentuk jangka panjang.

Disiplin bukanlah semata-mata tentang hukuman dan peraturan. Dalam konteks pelajar prauniversiti tingkatan 6, disiplin seharusnya lebih kepada mekanisme kawalan dalaman kendiri (muraqabah). Tanpa dipaksa, pelajar tingkatan 6 sentiasa berusaha sehabis baik untuk serasi dengan jangkaan terhadap adab, etika berpakaian, cara penampilan, pengurusan masa dan kod tingkah laku.

Sudah terlalu banyak dapatan penyelidikan menunjukkan hubung kait (correlation) antara tahap disiplin dengan pencapaian akademik. Pemerhatian umum juga menunjukkan bahawa dalam hampir semua kes, pelajar yang berpencapaian tinggi memiliki disiplin yang juga tinggi. Kejayaan yang paling besar bagi seseorang pelajar prauniversiti tingkatan 6 ialah sumbangan terhadap persekitaran pembelajaran di bilik darjah atau di bilik kuliah...

( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )



Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .