Biasiswa Kecil Pelajar Tingkatan 6

Yayasan Terengganu Sediakan RM 3 Juta 2009


Yayasan Terengganu (YT) menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membiayai biasiswa kecil untuk pelajar Tingkatan Enam yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)

Pengarah YT, Mohd Kamaru Al-Amin Ismail, berkata seramai 3,000 pelajar yang mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan ditawarkan tempat melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam tahun ini turut layak menerima biasiswa kecil itu.

Katanya, jumlah peruntukan disediakan YT untuk biasiswa kecil tahun ini meningkat sebanyak RM400,000 berbanding RM2.6 juta tahun lalu membabitkan seramai 26,000 pelajar.





"Bagaimanapun, biasiswa kecil itu hanya akan diberikan kepada pelajar yang layak ke Tingkatan Enam Atas dan pemilihan pelajar diuruskan pihak sekolah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kembara Pendidikan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) di Kuala Terengganu, kelmarin.

Seramai 32 ahli Sekretariat Permata menyertai program yang bertujuan memperkasakan pendidikan anak negeri ini di peringkat pendidikan menengah selain meningkatkan pelajar dalam penguasaan bahasa Inggeris.



Mohd Kamaru berkata, setiap pelajar akan menerima biasiswa kecil berjumlah RM1,000 seorang dan wang itu cukup untuk menampung mereka menyediakan pelbagai peralatan pembelajaran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata YT juga peruntukan sebanyak RM60,000 kepada Permata yang ditubuhkan di 22 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan dua institut perguruan di negeri ini.

Katanya, setiap Permata akan menerima peruntukan sebanyak RM25,000 bagi memudahkan persatuan itu melaksanakan pelbagai aktiviti terutama membabitkan anak negeri ini yang menerima bantuan kewangan YT.

"Permata yang ditubuhkan di setiap IPTA akan dijadikan sebagai jambatan bagi membolehkan anak negeri ini menganjurkan aktiviti,” katanya.


( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )



Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .