Pelajar berisiko perlu pendidikan alternatif



MENJELANG pembukaan penggal pertama persekolahan 2011 ibu bapa mengharapkan anak-anak yang bersekolah di sekolah rendah dan menengah akan mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran.

Seterusnya mereka juga menyimpan cita-cita supaya anak-anak mereka berjaya dalam pekerjaan dan kehidupan.

Pendidikan di sekolah pada masa kini menghadapi pelbagai isu dan cabaran berikutan pelbagai ancaman gejala sosial. Sekolah menjadi tempat penting untuk mendidik manusia supaya seimbang akal budi dengan menjuruskan pendidikan jasmani, emosi, rohani dan intelek.


Lumrah, sebagai ibu bapa mengharapkan kejayaan cemerlang kepada anak-anaknya. Bidang pendidikan menjadi pelaburan penting kepada masa depan seseorang. Jika anak-anak berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran dan peperiksaan, mereka juga akan ditawarkan ke universiti tempatan dan luar negara.
Bagaimanapun, tidak semua anak-anak yang diharapkan berjaya dalam pelajaran. Mereka mungkin mempunyai kebolehan tertentu dalam bidang tertentu seperti kemahiran komputer, kemahiran teknologi maklumat, mekanikal dan elektronik.

Peralihan daripada sekolah rendah ke sekolah menengah mungkin menimbulkan pelbagai masalah dan tekanan kepada sebilangan pelajar. Ia mungkin membabitkan persekitaran baru, kawan dan guru-guru baru yang mesti disesuaikan khususnya kepada pelajar berisiko.

Pelajar berisiko yang sudah bermasalah sejak di sekolah rendah akan memperlihatkan masalah ini dalam pelbagai bentuk tingkah laku antisosial seperti gengsterisme, buli, menghisap rokok, ponteng dan penagihan dadah. Mereka ini jika tidak dipantau dan dikawal akan membawa masalah kepada pelajar lain di sekolah menengah.
Faktor sekolah yang tidak stabil dan selamat menyebabkan mereka menghabiskan masa dengan kawan bermasalah. Faktor keluarga yang hanya melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada sekolah juga menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan rakan.

Faktor rakan sebaya yang sering menghabiskan masa dengan melepak dan merokok akan menyebabkan pelajar terjerumus dalam pelbagai masalah. Tidak kurang juga, faktor budaya di rumah yang tidak membentuk sikap dan tingkah laku yang baik menyumbang kepada keciciran pelajar.

Semua faktor ini harus difahami dan ditangani ibu bapa yang mempunyai anak- anak di bangku sekolah. Bagi guru, kefahaman dan kerjasama ibu bapa sangat diperlukan dalam membentuk insan seimbang yang dapat memberi manfaat kepada ibu bapa, keluarga dan masyarakat.



Sebagai contoh, sekolah besar dan mempunyai murid pelbagai latar belakang, kebolehan dan tingkah laku tidak mampu memberi perhatian kepada pelajar berisiko. Sementara sekolah biasa tidak dapat memberikan persekitaran yang produktif kepada pelajar ini.

Oleh itu, negara perlu memberi pelbagai program pendidikan alternatif untuk memastikan nasib golongan ini terbela. Pelbagai model pendidikan di luar negara yang berasaskan kemahiran boleh dirujuk dan dijadikan panduan untuk menangani permasalahan ini.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) (2006- 2010) yang dilaksanakan selama ini sekurang-kurangnya mampu menyamaratakan peluang pendidikan dan memberi tumpuan membentuk sekolah kluster cemerlang. Peluang ini perlu direbut untuk merealisasikan pendidikan berkualiti untuk semua pelajar tidak kira latar belakang mereka.


Justeru, memberi pendidikan adab mulia iaitu melalui dua arah iaitu pendidikan yang diberikan ibu bapa dan pendidikan oleh guru.

Seterusnya pendidikan yang diusahakan sendiri oleh seseorang individu dalam pertumbuhannya ke alam dewasa.

Pendidikan adab dan kesopanan juga mesti diseimbangkan dengan pendidikan akademik. Cendekiawan Islam ada mengatakan, Cepat-cepatlah memberikan pendidikan adab mulia terhadap anak-anak sebelum kamu dilihat oleh pelbagai kesibukan dan sebelum hati berkecamuk disebabkan terlalu banyak perkara yang difikirkan.

Kenyataannya, semua pelajar yang belajar di sekolah sekarang akan menjadi tenaga kerja di pasaran pekerjaan. Oleh itu, keseimbangan antara ilmu dan kemahiran sangat penting dalam menjadikan pelajar sebagai aset pembangunan negara. Pembangunan setiap individu amat penting bagi menghadapi bidang pekerjaan mencabar pada masa depan.


( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )



Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .