JPN Kelantan Siap Sedia Pelajar STPM Dan SPM Hadapi Banjir



KOTA BAHARU: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan mengarahkan semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua semasa peperiksaan. Pengarahnya, Hussein Awang berkata pihaknya telah menyediakan pusat pemindahan untuk dijadikan pusat peperiksaan alternatif jika pusat peperiksaan sedia ada dinaiki air.

Ini bagi memastikan 43,151 calon yang mengambil kedua-dua peperiksaan di seluruh negeri itu tahun ini tidak terjejas, katanya di sini, Ahad.

Daripada jumlah itu, 36,738 calon SPM akan menduduki peperiksaan di 274 sekolah yang dijadikan pusat peperiksaan manakala 6,413 calon STPM menduduki peperiksaan di 54 pusat di negeri negeri ini.

Hussein berkata hasil kajian jabatannya mendapati 35 sekolah di negeri ini dijangka ditenggelami air atau terputus hubungan, termasuk 29 sekolah di bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK) melibatkan 2,646 calon SPM, jika berlaku banjir.

"Bagi STPM, sebanyak tujuh sekolah atau tujuh pusat peperiksaan terlibat dengan ancaman banjir sama ada pusat peperiksaan atau jalan menuju ke pusat itu ditenggelami air," katanya.

Beliau menasihatkan pelajar terbabit supaya menghubungi pengetua atau pihak sekolah apabila kawasan mereka ditenggelami air banjir dan tidak dapat menduduki peperiksaan berkenaan.

Peperiksaan SPM dan STPM di seluruh negara akan bermula Selasa ini dan berakhir 20 Dis.-BERNAMA



Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .