STPM perlu relevan dengan keperluan pendidikan negara

TAHNIAH kepada 236 pelajar berjaya mencatat keputusan terbaik peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) kelmarin. Namun, jika dilihat secara menyeluruh keputusan itu kurang memberangsangkan, terutama kemerosotan dari segi jumlah calon yang memperoleh prinsipal A, selain prestasi kurang memuaskan di kalangan calon sekolah luar bandar. Daripada 53,638 calon yang mengambil peperiksaan itu, hanya 3,437 calon atau 6.85 peratus lulus penuh lima mata pelajaran, manakala 18,686 calon atau 37.25 peratus lulus empat mata pelajaran. Selebihnya hanya lulus tiga atau dua prinsipal, sekali gus menyukarkan mereka memasuki pusat pengajian tinggi awam. Dalam pada itu, kita melihat arah aliran pelajar memasuki Tingkatan Enam dan mengambil STPM juga semakin merosot iaitu daripada 66,048 calon pada 2007 kepada 58,048 tahun lalu. Jika kedua-dua petunjuk ini dijadikan asas untuk melihat masa depan peperiksaan STPM, ia sesuatu yang membimbangkan dan memerlukan penelitian khusus kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran. Peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil STPM melalui Tingkatan Enam semakin merosot setiap tahun, khususnya bagi kelas Sains iaitu hanya 9,093 calon tahun lalu berbanding aliran Sastera 44,545 calon. Malah, jika kita melihat daripada 400,000 pelajar yang menduduki SPM setiap tahun, hanya lapan peratus atau sekitar 50,000 saja memasuki kelas Tingkatan Enam dan mengambil peperiksaan STPM, ia sepatutnya membuka mata semua pihak mengenai hala tuju peperiksaan berkenaan.

Sebahagian pelajar lepasan SPM mengelak memasuki Tingkatan Enam atau mengambil STPM, sebaliknya memilih menyertai program diploma di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), kolej matrikulasi atau kolej komuniti di seluruh negara. Sebagai contoh, daripada 442,936 calon SPM tahun lalu yang keputusannya diumumkan hari ini, seramai 130,000 calon memohon ke IPTA melalui online Unit Pusat Universiti. Itu belum dikira pelajar yang memohon mengikuti kursus diploma dan sijil yang dianggarkan berjumlah 28,000, manakala 27,500 lagi akan ditawarkan tempat di kolej matrikulasi. Kini terpulang kepada Kementerian Pelajaran untuk memastikan kelas Tingkatan Enam dan peperiksaan STPM terus relevan sebagai laluan ke IPTA. Ini berikutan terlalu banyak saluran untuk lepasan SPM memasuki IPTA dan IPTS bagi menyambung pelajaran pada masa ini. Sehubungan itu, ura-ura penjenamaan semula peperiksaan STPM, termasuk cadangan penubuhan Kolej Tingkatan Enam dan pemilihan guru berjawatan DG44 untuk mengajar pelajar STPM memang kena pada masanya dan amat dialu-alukan. Dalam pada itu, kita juga mahu MPM mengkaji semula sukatan 23 mata pelajaran yang ditawarkan di Tingkatan Enam supaya selari dengan keperluan pengajaran dan pembelajaran di IPTA. Subjek ditawarkan itu kebanyakannya sudah ketinggalan zaman dan tidak menarik minat pelajar mempelajarinya. Sudah sampai masanya peperiksaan STPM digilap semula supaya menjadi keutamaan pelajar sebagai saluran memasuki universiti, bukan pilihan terakhir seperti tanggapan pelajar pada masa ini.

Berita Harian Online: 12 Mac 2009



( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )



Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .