Pegawai Jabatan Pelajaran prihatin, profesional kendali kes guru

 SAYA adalah seorang guru sejak 1990 dan mengajar Malaysian University English Test (MUET) untuk pelajar Tingkatan Enam Rendah dan Enam Atas sejak 2004 di SMK Pandan Mewah, Ampang. Saya diluluskan cuti belajar bergaji penuh oleh Bahagian Tajaan Pendidikan Kementerian Pelajaran mulai Disember 2008 hingga Disember 2010.

Baru-baru ini, nama saya dipanjangkan oleh pihak sekolah untuk urusan pemangkuan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) bagi pengisian jawatan Gred DG44 di sekolah yang mempunyai Tingkatan Enam (Fasa 1).

Malangnya saya tidak berjaya kerana dimaklumkan bahawa saya tidak memenuhi salah satu syarat ditetapkan iaitu seseorang guru (PPPS DG41) perlu mengajar Tingkatan Enam, tiga tahun berturut-turut mulai 2007, 2008 dan 2009. Saya tidak mengajar pada 2009 kerana bercuti belajar. Menidakkan saya pemangkuan ke Gred DG44 atas sebab ini, bagi saya adalah tidak adil dan munasabah kerana saya sudah mengajar Tingkatan Enam sejak Ogos 2004 dan setahu saya ketika cuti belajar, pegawai adalah layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.

Saya merujuk perkara ini melalui panggilan telefon kepada Jabatan Pelajaran Selangor yang kemudian meminta saya merujuk kepada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran. Pada awal perbualan itu, saya dimaklumkan urusan pemangkuan PPPS bagi pengisian jawatan Gred DG44 di sekolah yang mempunyai Tingkatan Enam (Fasa 1) sudah tamat.

Perbualan kami berakhir di situ, dengan kekecewaan di pihak saya. Bagaimanapun, selepas setengah jam, pegawai terbabit menelefon saya kembali dan memaklumkan bahawa selepas meneliti kes saya, beliau dapati saya memenuhi semua syarat dalam urusan pemangkuan Gred DG44 berhak untuk dipertimbangkan memangku Gred DG44.

Beliau meminta saya mengemukakan semula surat pengesahan dan dokumen berkaitan daripada pengetua untuk pertimbangan semula pihak kementerian. Saya amat berterima kasih dengan sikap pegawai itu kerana cukup prihatin dan bertindak secara profesional ketika mengendalikan masalah saya.
Syabas atas tindakan segera. Saya tidak pasti sama ada saya akan berjaya atau tidak di dalam urusan pemangkuan Gred Hakiki DG44 Fasa 1 ini kerana ia tertakluk kepada arahan semasa pihak kementerian.


Berita Harian Online: 22 April 2010


( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )



Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .