Maruah 108 pengetua Gred DG52 tercalar diturunkan pangkat

KIRA-KIRA 108 pengetua yang sepatutnya dilantik ke Gred DG52 tahun ini akan dikeluarkan daripada jawatan berkenaan untuk terus kekal pada Gred DG48 seperti sekarang. Mereka adalah pengetua di sekolah menengah yang mempunyai Tingkatan Enam atau sekolah yang lebih daripada 1,750 pelajar.
Pengetua ini akan ditukarkan ke sekolah yang tidak mempunyai Tingkatan Enam atau pelajar kurang daripada 1,750 orang, iaitu pengetua DG48, seperti gred gaji mereka sekarang. Keadaan ini berlaku kerana Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran menganggap Kumpulan 108 pengetua itu berada di luar zon kenaikan pangkat.

Surat dari Bahagian Sumber Manusia menegaskan bahawa hanya pengetua yang sudah dilantik ke DG48 pada atau sebelum 2005 yang layak dinaikkan ke DG52 tahun ini.

Beberapa pengetua yang dihubungi mengatakan, tindakan itu satu lagi ‘serangan’ oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) terhadap warga pendidik dengan cuba merendah-rendahkan sumbangan guru.
Mereka berkata, PTD menyatakan guru yang sepatutnya dilantik ke DG52 secara hakiki itu berlaku secara luar biasa. Sebaliknya, guru mengatakan mereka diberi jawatan sekarang disebabkan merit, iaitu Pengarah Pelajaran Negeri berpuas hati dengan prestasi dan keupayaan masing-masing.

Pengetua DG48 itu dihantar memimpin di sekolah yang gred pengetuanya DG52 kerana kecemerlangan mereka.

Kumpulan 108 pengetua itu dilantik pada 2006 atau selepas tahun berkenaan dan tidak layak ke DG52 mengikut syarat tiga tahun di DG48 seperti ditetapkan oleh PTD yang mentadbir keseluruhan Bahagian Sumber Manusia.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan menerusi teras kelimanya menyatakan ‘Memartabatkan Kerjaya Keguruan’ namun tindakan ini seolah-olah menjatuhkan maruah guru dan keluarga mereka keseluruhannya.
Kumpulan 108 pengetua ini sudah lebih dua tahun memimpin sekolah berkenaan dan bakal ditukarkan ke sekolah lebih kecil.

Guru di daerah mereka mengenali pengetua ini sebagai penjawat DG48 yang akan dinaikkan ke DG52 kerana bertugas di sekolah sekarang tetapi tiba-tiba ditukarkan ke sekolah lain, semata-mata kerana tidak berada dalam zon kenaikan pangkat.

Zon kenaikan pangkat itu sekarang ditakrif oleh PTD sebagai ‘tiga tahun berada di DG48’.

Seorang pengetua berkata, ‘tindakan ini bukan saja menjatuhkan maruah kami tetapi juga mengakibatkan pengetua hilang moral dan tidak bersemangat untuk memimpin.

“Bayangkan keadaan kami. Selama dua, tiga tahun menjadi pengetua di sekolah DG52 tetapi ditukarkan semula ke sekolah pengetua DG48. Ini satu bentuk hukuman sedangkan kami tidak melakukan kesalahan. Kami dihukum kerana sebelum ini kami dinaikkan pangkat secara merit,” katanya.

Pelantikan Timbalan Perdana Menteri sebagai Menteri Pelajaran memberi harapan baru kepada warga pendidik untuk mendapat peluang kenaikan pangkat yang lebih terbuka dan adil.

Tan Sri Muhiyiddin Yassin sewajarnya meneliti rintihan Kumpulan 108 pengetua ini yang berasa mereka cuba dianiaya.

Berita Harian Online: 18 Ogos 2009

Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .