Keputusan naik pangkat guru Tingkatan Enam boleh disemak

MERUJUK kepada SMS ‘BASHA:BHA001163’, dalam ruangan rakan@bh akhbar ini bertarikh 19 Mei lalu bertajuk ‘Guru Tingkatan Enam memangku DG44, DG48, DG52 sejak Januari sudah lebih dua tahun masih belum disahkan jawatan’.

Keputusan urusan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah (PPPS) ke gred DG44, DG48 dan DG52 di sekolah yang mempunyai Tingkatan Enam melalui fasa satu (kumpulan pertama), boleh disemak melalui laman web Kementerian Pelajaran mulai 16 Mei lalu.

Surat penyiaran kenaikan pangkat bagi Pahang, Perak, Kedah, Sabah, bahagian pendidikan Islam dan bahagian pendidikan teknik dan vokasional sudah dikemukakan kepada calon melalui ketua jabatan masing-masing mulai 26 Mei hingga 1 Jun lalu.

Bagi negeri dan bahagian lain, surat penyiaran sudah dikemukakan kepada Jabatan Pelajaran Negeri dan bahagian berkenaan pada 2 Jun lalu.

Bagi calon fasa satu (kumpulan kedua) iaitu mereka yang tidak dapat dikekalkan di sekolah sama di dalam fasa satu (kumpulan pertama) kerana tiada kekosongan jawatan dan pakej mata pelajaran, mereka ditempatkan di sekolah lain yang masih ada kekosongan jawatan dan pakej mata pelajaran.

Perakuan kenaikan pangkat calon terbabit mulai 18 Julai tahun lalu dijangka dikemukakan untuk pertimbangan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) akhir Jun ini, selepas semua perakuan diterima dari JPN dan bahagian berkenaan.

Setakat ini, calon bagi Melaka dan Johor sudah dikemukakan pada 10 Mei lalu untuk pertimbangan LKPPP di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Untuk maklumat lanjut, calon boleh hubungi talian berikut:
Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak (03-88847887); Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu, bahagian pendidikan teknik dan vokasional, bahagian pendidikan khas dan bahagian pengurusan sekolah berasrama penuh dan sekolah kluster (03-88847935); Johor, Melaka dan bahagian pendidikan Islam (03-88847959); Sabah dan Perak (03-88847930); Perlis, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan (03-88721418).

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran



Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .