Ternyata pengalaman dan kebolehan kami selama ini tidak dipandang oleh pihak berwajib. Walaupun berada di Gred DG41 baru setahun jagung, kami sudah lama diberi tanggungjawab mengajar Tingkatan Enam disebabkan kepakaran dan pengalaman kami. Namun, disebabkan syarat yang ditetapkan, kami tersisih dan terpaksa melakukan tugas baru iaitu mengajar tingkatan yang lebih rendah dan pada masa sama kena pula mengadakan bengkel untuk menunjuk cara mengajar Tingkatan Enam kepada guru akademik Tingkatan Enam yang baru mengambil alih tugas kami. Kami bukan minta disanjung tetapi tolonglah prihatin dengan nasib guru seperti kami kerana kelayakan kami tidak sama dengan kelayakan guru yang sememangnya sejak asal sudah berada di Gred DG41. Kami pula bertahun-tahun menyandang Gred DG29 dan baru beralih ke Gred DG41.
Sukacita saya mengharapkan pihak atasan melihat dan meneliti nasib guru seperti kami yang selalu tersisih dan kurang diberikan perhatian dalam urusan kenaikan pangkat sebegini. Sudahlah selepas tamat belajar di peringkat sarjana muda kami terpaksa menunggu sekurang-kurangnya satu hingga tiga tahun untuk ditemuduga ke Gred DG41, janganlah kami disisihkan pula dalam urusan kenaikan pangkat sebegini. Memang kami akui, pengetua sekolah sentiasa melihat dan mengakui kebolehan kami tetapi kerana syarat yang ditetapkan mereka terpaksa akur bahawa kami tidak layak mengisi borang kerana belum disahkan jawatan ke gred DG41 atau belum menduduki PTK.
( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )