Anak buruh pelajar cemerlang STPM


KUALA TERENGGANU 10 Mac - Dua anak buruh merupakan antara lima calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 di negeri ini yang lulus cemerlang dalam semua pelajaran.Kedua-duanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini, Nurul Faatihah Md. Hassan, 20, dan Nur Ain Syuhada Atam, 20, masing-masing memperoleh keputusan 4A.

Nurul Faatihah mendapat 4A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah dan Ekonomi manakala Nur Ain Syuhada pula lulus cemerlang dalam Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Geografi dan Ekonomi.

Menurut Nurul Faatihah, ketekunan mengulangkaji pelajaran selama dua jam setiap hari pada setiap malam membantunya memperoleh keputusan cemerlang itu.

"Saya tekun belajar kerana mahu membuktikan saya mampu mencatat keputusan cemerlang walaupun tidak menerima sebarang tawaran melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu.

"Saya juga mahu mendapat kerja yang baik kerana tidak mahu keluarga terus hidup susah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Anak sulung daripada lapan beradik itu berkata, dia berhasrat melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi membolehkannya mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah.Nur Ain Syuhada pula berkata, dia berusaha keras mendapat keputusan cemerlang kerana ingin menjadi inspirasi kepada lapan adiknya untuk berjaya dalam hidup.

"Saya belajar seperti biasa dengan memberi tumpuan dalam kelas dan mengikuti program-program yang diadakan oleh sekolah dan Jabatan Pelajaran negeri," katanya.

Selain mereka berdua, dua calon SMKA Nurul Ittifaq di Besut, Nor Syamimi Mohd. memperoleh keputusan 5A dan Nurul Huda Abdullah 4A 1B manakala calon SMK Tengku Ampuan Intan di Hulu Terengganu, Siti Nabila Huda Rashid memperoleh 4A.


( Sumber Informasi Tingkatan 6 Anda )





Laman Pra Universiti, tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat daripada laman web ini .